Yang menjadi tanda tanya adalah tentang gerangan penyanyi yang bergandingan dengan Rafidah menerusi single pertama berjudul Tentang Cinta yang masih dirahsiakan sehingga hari ini. Menjawab persoalan itu, Rafidah memberitahu, dia sengaja membiarkan identiti penyanyi berkenaan menjadi teka-teki. “Saya akan melancarkan ketiga-tiga lagu itu pada satu majlis yang diadakan pada Ramadan nanti.

“Saya tidak sabar untuk memperdengarkan single kedua saya yang merupakan kesinambungan daripada Apo Kono Eh Jang manakala single ketiga pula hasil ciptaan Ajai,” ujarnya. Selain seni, Rafidah juga kini berjinak-jinak dengan bidang perniagaan pakaian dan barangan bayi serta kanak-kanak di bawah jenama Tiny Quay.

Perniagaan yang baru sebulan beroperasi di butik yang terletak di Avenue II, Seksyen 16 , Shah Alam, Selangor juga dijual secara atas talian. “Saya memilih perniagaan ini  kerana persaingan tidak seteruk menjual barangan pakaian orang dewasa. “Lagipun banyak barangan yang comel dan membuatkan saya lebih tertarik untuk terus menguruskan perniagaan ini,” katanya lagi.

DEK enggan mahu namanya terus dikaitkan dengan kisah negatif Rafidah Ibrahim mengambil keputusan untuk menyepikan diri kira-kira setahun lalu. Kata penyanyi dan pelakon berusia 29 tahun ini, dia perlu ‘lari’ seketika bagi meredakan namanya daripada terus diburu media massa. “Saya buntu dan tertanya-tanya mengapa saya tidak putus-putus dihujani cerita gosip. Satu demi satu gosip timbul.

“Keadaan itu yang menyebabkan saya agak terkebelakang. Saya juga jadi takut untuk pergi ke acara hiburan kerana bimbang kehadiran saya itu akan membikin kontroversi baharu,” kata Rafidah.

Antara kontroversi yang membabitkan nama Rafidah adalah isu perkahwinan rahsianya dengan bekas pengurus yang dikenali sebagai Shah di utara tanah air, cinta tidak kesampaian dengan pelawak Mamat Sepah dan pelakon Zalif Sidek.

Selain itu, nama penyanyi lagu Apo Kono Eh Jang ini terpalit dengan kes pemakaian tudung yang mendapat kritikan hebat peminat industri hiburan. Berkongsi rasa, kata wanita ini, dia berdepan dengan tekanan daripada keluarga yang nyata kecewa apabila dirinya berterusan dikaitkan dengan cerita panas.

Anak bongsu daripada 12 adik beradik ini juga mengakui pernah diberi amaran oleh keluarga agar menjaga maruah keluarga supaya tidak dipandang serong masyarakat.

“Yang paling marah dalam keluarga adalah abang saya, Ayep Syah. Dia memang  marah  dengan saya sebab saya telah menjejaskan nama keluarga. “Abang Ayep kemudiannya membuat perjumpaan tergempar membabitkan saya, pengurus lama dan beberapa ahli keluarga yang lain. Pada pertemuan itu juga dia memberi kata dua kepada saya.

“Adakah saya mahu terus bertapak dalam industri hiburan tetapi di bawah jagaannya atau berhenti terus dari kerjaya seni.

“Sudah pastilah saya memilih untuk mempertahankan karier saya. Keputusan saya itu juga menyebabkan saya tidak lagi menggunakan khidmat Shah,” jelas Rafidah yang bakal berada di bawah pengurusan Ayep bermula awal bulan depan.

Mengulas tentang dakwaan Shah sebagai individu yang bertanggungjawab menyebabkan dia terdedah dengan pelbagai cerita negatif, Rafidah menafikan. Kata Rafidah, dia sendiri bingung tentang perkara tersebut. Yang pasti, pertaliannya dengan  Shah secara tidak langsung mengundang persepsi liar khalayak terhadap imejnya.

Apatah lagi berada dalam lingkungan budaya masyarakat Melayu yang berpegang teguh kepada agama Islam, Rafidah menambah, perkara itu menyebabkan dia kerap dipandang serong kerana dilihat kerap bersama-sama lelaki itu.

“Saya bersikap terbuka dengan setiap keputusan yang dibuat keluarga. Mereka lebih mengetahui yang terbaik buat saya. “Apapun, banyak pengajaran yang saya ambil daripada kisah lalu. Yang lepas itu biarlah... Kini saya lebih bersemangat untuk kembali bekerja,” katanya.